Harga sebenar basikal trek yang digunakan jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang ialah RM300,000.
Perkara ini dikongsikan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
“RM300,000. Ini kerana ini disebabkan kajian dan penyelidikan (R&D) dan cara mereka menghasilkan basikal itu sangat istimewa,” katanya.
Azizulhasni turut menambah kos itu turut meliputi bahagian basikal, sut dan topi keledar yang digunakan.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu turut memaklumkan adakalanya bahagian basikal juga perlu diubah. Ini bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Bermula dari kosong tanpa basikal, kita buat ujian. Yang ini bukan basikal saja dia pakej. Kita buat kedudukan, sut dan topi keledar macam pakej.
“Jadi, sekarang kita kena tukar untuk Sukan Olimpik seterusnya, sepit udang dan hendal kerana UCI telah mengubah peraturan. Sepit udang tak boleh terlalu nipis dan bahagian hendal pula tak boleh terlalu kecil,” tambahnya.
Azizulhasni turut mendedahkan basikal trek yang digunakan mengambil masa lebih tiga tahun disiapkan di Jepun.
Taufiq menyifatkan kos basikal tersebut dilihat berbaloi seiring dengan pencapaian yang dilakar jaguh berbasikal negara berusia 38 tahun itu.
“Itulah harga basikal Dato’ Azizulhasni Awang – pelaburan yang dibuat KBS dan agensi-agensi di bawah Kementerian demi perkembangan sukan basikal kita.
“Seiringan dengan itu, apa yang ada dalam diri pengayuhnya – disiplin, semangat dan tekad. Dan itulah yang telah dibuktikan berkali-kali oleh wira kita ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Nama Azizulhasni menjadi sebutan apabila meraih dua pingat dalam saingan Piala Dunia Trek UCI di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini. Ini termasuk pingat emas dalam acara keirin.