Harimau Malaya berpeluang untuk menebus duka yang telah berlaku sekitar 463 hari yang lalu.
Skuad kendalian Peter Cklamovski terus rancak melakukan persiapan rapi untuk memantapkan pasukan terutamanya selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas jaguh Asia Tenggara, Vietnam pada 10 Jun lalu.
Kem bulan September mengejutkan ramai pihak selepas Malaysia bakal menyertai CAFA Nations Cup 2025 selaku pasukan jemputan bersama-sama pasukan ke-77 dunia, Oman.
Harimau Malaya juga berpeluang untuk menguji kekuatan berdepan pasukan ke-18 dunia, Iran yang juga beraksi di Piala Dunia selain beberapa pasukan lain seperti Uzbekistan (57), Kyrgyzstan (103) dan juga Tajikistan yang berada pada kedudukan ke-104 dunia.
Malaysia juga berpotensi untuk menentang Oman sekali gus menebus duka yang dicatat selepas tunduk dua kali pada aksi pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad negara yang dibimbing oleh Kim Pan-gon ketika itu tewas dua kali kepada jaguh Timur Tengah itu dengan keputusan 2-0 sekali gus terlepas peluang untuk layak ke Piala Dunia 2026.
Malaysia masih belum tewas sebarang perlawanan di bawah kendalian Peter Cklamovski selepas menang dua ke atas Nepal dan Vietnam selain seri menentang pasukan ke-72 dunia, Cape Verde.
Persiapan menentang Asia Tengah penting buat Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi menentang Laos pada bulan Oktober ini.