Harimau Malaya Elak Uji Thailand Bersebab
MakanBola
FAM/Changsuek

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti memiliki sebab tersendiri untuk tidak memilih Thailand sebagai salah satu lawan pada aksi persahabatan.

Pasukan kebangsaan bakal terbang ke luar negara untuk berdepan dua perlawanan persahabatan bertemu Laos dan India pada tempoh Kalendar Antarabangsa FIFA November ini.

Aksi skuad kebangsaan berdepan Laos akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November sebelum berlepas ke India untuk perlawanan kedua yang dijadualkan tiga hari kemudian

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, terdapat kekangan bagi memilih yang terbaik kerana kebanyakan negara sudah miliki jadual tersendiri.

“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masing-masing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, keputusan untuk tidak memilih lawan dari Asia Tenggara seperti Thailand diambil kerana skuad Gajah Perang itu berada bersama Malaysia di dalam kumpulan A.

“Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan bertemu empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste.”

“(Hal ini) kerana mereka (berada) di dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, Disember ini,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, FAM menyerahkan keputusan di tangan Pau Marti untuk memilih skuad yang bakal dibawa ke Piala Mitsubishi Electric ASEAN pada Disember hadapan.

“Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 nanti.”

“Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir beliau dalam menyediakan pasukan ke kejohanan tersebut,” tambah beliau lagi.

Skuad Harimau Malaya kini berada di tangga ke-133 dunia dan bakal membuka tirai kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN bertemu Kemboja pada 8 Disember di Phnom Penh.