Skuad Harimau Malaya tidak memandang enteng dan kekal menghormati Nepal menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027.
Umum mengetahui bahawa skuad Harimau Malaya telah diundi bersama Vietnam, Laos dan juga Nepal di dalam kumpulan B bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 hadapan.
Di atas kertas, Malaysia dan juga Vietnam dianggap sebagai pasukan pilihan berdasarkan kedudukan ranking terkini dan dijangka bakal bersaing hebat untuk merebut 1 tiket ke Arab Saudi.
Sungguhpun begitu, kehadiran Nepal dan Laos tidak boleh dipandang mudah dengan The Gorkhalis dijadualkan bakal menjadi lawan pertama Harimau Malaya pada 25 Mac nanti.
Menurut ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, ketika ini tumpuan pasukan adalah untuk merencana suatu persiapan rapi sebelum memulakan kem latihan kebangsaan pada Mac.
”Tumpuan kami sekarang adalah untuk mendapatkan persediaan rapi untuk kem bulan Mac hadapan,” kata Ckalmovski ketika ditemu bual oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tambah Cklamovski, beliau menganggap Nepal adalah lawan yang dihormati dan bertekad untuk membawa Malaysia ke sana berbekalkan persiapan rapi bagi membawa pulang hasil yang setimpal.
”Kita akan bertemu Nepal, di mana lawan yang kami sangat hormati,” tambah bekas pengendali FC Tokyo itu lagi.
“(Dan) pergi dengan penuh komitmen untuk mendapatkan persiapan yang baik untuk mendapatkan prestasi di mana ia perlu untuk mendapatkan hasil.”
Berdasarkan ranking, Malaysia dilihat bakal menjadi pilihan apabila menghuni ranking ke-132 berbanding Nepal yang merupakan negara ke-175 dalam kemas kini FIFA sebelum ini.
Pasukan Harimau Malaya bakal bertandang ke laman Nepal dalam aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 pada 25 Mac sebelum melayani kunjungan Vietnam di Bukit Jalil pada 10 Jun.