Skuad Harimau Malaya menagih kudrat 4 pemain Malaysia yang bermain di luar negara bagi menghadapi Cape Verde dan Vietnam pada Jun ini.
Kali ini tugas lebih mencabar bakal menanti skuad negara kendalian Peter Cklamovski setelah membuka tirai aksi di Kelayakan Piala Asia 2027 dengan menewaskan Nepal 2-0 pada Mac lalu.
Oleh itu persediaan lebih rapi diatur oleh pihak pengurusan skuad kebangsaan dengan mengatur aksi pemanas badan bertemu negara di ranking ke-72 dunia, Cape Verde sebelum berdepan Vietnam.
Malah, barisan pemain terbaik juga telah dipanggil oleh Peter Cklamovski dalam misi meraih langkah konsisten dengan 38 nama disenarai pendek bagi menyertai kem latihan fasa awal kebangsaan.
Daripada senarai tersebut, seramai 4 orang pemain Malaysia yang kini beraksi di luar negara telah pun diseru bagi perkuat skuad Harimau Malaya untuk bertemu dua negara yang lebih tinggi rangkingnya.
Nama bek kanan Buriram United, Dion Cools sudah tentunya tersenarai selepas pamer aksi cemerlang di Thailand tatkala Endrick Dos Santos yang kini bermain di Liga Vietnam turut berada sama.
Dua pemain warisan yang beraksi di Eropah, Hector Hevel dan Gabriel Palmero tidak terkecuali mendapat panggilan pasukan negara untuk menghadapi tugasan antarabangsa kali ini.
Skuad Harimau Malaya akan bertemu Cape Verde dua kali dalam aksi persahabatan terbuka pada 29 Mei di Stadium Cheras dan secara tertutup di Bukit Jalil pada 3 Jun 2025 ini.
Aksi pemanas badan menentang Cape Verde ini merupakan salah satu persiapan penting buat pasukan negara sebelum turun menentang Vietnam pada 10 Jun untuk aksi Kelayakan Piala Asia.