Harimau Malaya tempang tanpa khidmat lima pemain menjelang aksi ketiga Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menentang Thailand.
Lima pemain tersebut ialah Darren Lok, Stuart Wilkin, Daniel Ting, Dominic Tan dan Syafiq Ahmad. Syafiq terpaksa disisihkan akibat kecederaan buku lali yang dialami semasa menentang Timor Leste.
Darren, Wilkin, Dominic dan Daniel pula perlu memberi komitmen kepada Sabah FC untuk kempen Piala Malaysia 2024/25. Sabah dijadualkan bertemu Kuching City FC untuk aksi suku akhir pertama pada 15 Disember.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui tugasan menentang Thailand cukup mencabar tanpa kelibat lima pemain berkenaan. Pada masa sama, beliau bersedia memanfaatkan semua pemain yang ada sebagai persiapan untuk perlawanan tersebut.
“Ya, saya fikir ia sesuatu yang mencabar kerana kita kehilangan beberapa pemain. Tapi kita ada skuad yang besar iaitu 26 pemain.
“Jadi, sesiapa yang datang ke sini tahu aksi ini cukup penting dan para pemain cukup bermotivasi untuk menghadapi perlawanan sebegini,” katanya dalam sidang media praperlawanan semalam.
Meskipun ramai pemain Harimau Malaya kali ini terdiri daripada pemain muda, Pau Marti percaya mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran skuad Gajah Perang.
“Saya fikir sesetengah pemain masih muda. Jadi, bagi mereka untuk menghadapi perlawanan sebegini, itulah sebab mereka menjadi pemain bola sepak.
“Mereka bermain dalam kejohanan besar dan menentang pasukan kuat. Jadi, saya fikir ini satu motivasi yang besar buat kita.
“Kita akan berlatih lewat, kita akan nilai semua pemain dan kemudian, kita akan letakkan skuad terbaik berdepan Thailand,” ujarnya.
Malaysia dan Thailand bakal berentap di Stadium Rajamangala pada 14 Disember ini. Skuad negara berharap dapat mengulangi kejayaan mengalahkan pasukan itu pada 7 Januari 2023.