Pertahanan muda Malaysia, Harith Haiqal bakal memberikan satu lagi masalah kepada pengendali negara, Pau Marti.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu kini mengambil alih tampuk kejurulatihan negara daripada Kim Pan-gon yang pulang ke Korea Selatan.
Pemain berusia 22 tahun itu membuktikan bahawa dirinya sudah bersedia untuk beraksi di pentas tertinggi apabila turun secara kerap untuk membarisi kesebelasan utama Selangor FC.
Pemain Malaysia B-23 ini telah beraksi 10 perlawanan pada musim ini dalam kesebelasan utama bagi semua kejohanan bersama Gergasi Merah.
Beliau beraksi secara konsisten dan membentuk gandingan yang amat baik bersama pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin.
Penilaian oleh laman Sofascore menunjukkan Harith Haiqal mencatatkan peningkatan dari segi penilaian dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Aksi menentang Sabah FC menjadi perlawanan paling sempurna buat tonggak Piala Asia B-23 ini dengan penilaian 8.0 dan menjadi pemain terbaik perlawanan.
Harith antara pemain muda yang menjadi pilihan pengendali, Nidzam Jamil termasuklah beberapa pemain lain seperti Aliff Haiqal, Zikri Khalili dan juga Syahir Bashah.
Beliau juga dijangka akan berada dalam senarai akhir pemain negara bagi aksi Pestabola Merdeka susulan tersenarai bagi panggilan terakhir di Kelayakan Piala Dunia 2026.