Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil percaya pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim bakal mengecapi prestasi terbaiknya tidak lama lagi.
Faisal membuat kemunculan pertama untuk Selangor dalam Liga Super musim 2024/25 dalam aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 10 Ogos lalu.
Itu aksi pertamanya dalam tempoh tiga bulan selepas pulih daripada kecederaan melecur tahap empat yang dialami. Ini susulan serangan asid yang menimpa Faisal pada Mei lalu.
Sejak itu, pemain sayap berusia 26 tahun itu mula mengumpul minit permainan dengan tampil sebagai pemain gantian semasa menentang Sabah pada 13 Ogos lepas.
Ini disusuli aksi Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka pada 17 Ogos lalu yang menyaksikan Faisal beraksi selama 45 minit pada separuh masa pertama.
Nidzam mengakui sentuhan bekas pemain sayap Terengganu FC itu belum berada pada tahap terbaik. Pada masa sama, beliau menganggap ini proses normal bagi pemain yang baru pulih untuk mengambil masa kembali mendapatkan prestasi terbaik.
Nidzam yakin sekiranya Faisal terus menunjukkan kemajuan di atas padang, anak jati Mengkuang Titi, Seberang Perai itu bakal menemui sentuhan berbisanya semula.
“Kita gembiralah sebab dia akan melalui fasa-fasa macam ini. Sudah tentu dia belum sampai ke tahap yang kita jangkakan. Tapi (kemajuan) dia berada di landasan tepat.
“Perlawanan macam ini (Piala Sultan Selangor), dia akan main dan dia akan dapat banyak (pendedahan) mood permainan untuk memahami (prestasi) dia akan datang balik. Tak lama lagilah, rasa (prestasi) dia akan datang balik,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan antara Selangor dan Pilihan Singapura.
Selangor muncul juara Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Singapura dengan keputusan 2-1. Kejayaan ini menjadi perangsang terbaik Merah Kuning menjelang aksi final Piala FA 2024 yang bakal berlangsung pada 24 Ogos ini.