Bek tengah muda Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar berharap dapat meneruskan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.
Selain meraih penampilan pertama antarabangsa dalam aksi menentang New Zealand pada Oktober lalu, bek tengah berusia 22 tahun itu mencipta satu lagi detik manis dalam kariernya.
Ini selepas Harith menjaringkan gol dalam aksi menentang Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu. Selain beliau, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero turut menyumbang gol kepada kemenangan 3-1 Harimau Malaya.
Harith bersyukur kerana melalui musim yang baik bersama Merah Kuning. Ini kerana prestasinya bersama pasukan itu pada musim 2024/25 membuka jalan buat beliau menyahut panggilan Harimau Malaya.
Meskipun mengakui perjalanan kariernya masih jauh, Harith berazam untuk memberikan yang terbaik setiap kali diberi peluang baik bersama Selangor mahupun Harimau Malaya.
“Sejujurnya, perjalanan saya masih jauh. Namun, Alhamdulillah, saya diberi rezeki untuk melalui musim yang agak baik. Sokongan keluarga, barisan jurulatih, rakan sepasukan dan pihak pengurusan sangat penting dalam karier saya.
“Kepercayaan yang mereka berikan mendorong saya untuk terus berusaha dan berikan yang terbaik untuk setiap peluang yang diberikan.
“Saya akan terus berusaha keras demi Selangor, Malaysia dan diri saya sendiri, Insya Allah,” katanya dalam satu video rasmi Merah Kuning.
Harith berpeluang menambah satu lagi penampilan antarabangsa jika dipilih beraksi menentang India di Hyderabad pada 18 November ini.
Selepas tamat tugasan bersama Harimau Malaya, kudratnya dijangka ditagih untuk aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25 menentang Sri Pahang FC.
Aksi pertama pusingan 16 terbaik bakal diadakan di Temerloh pada 23 November. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 1 Disember.