Hasrat pemain antarabangsa Tajikistan, Amirbek Juraboev untuk kembali ke Malaysia tidak kesampaian selepas namanya tidak tersenarai bersama skuad kebangsaan Tajikistan ke kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Nama Amirbek pastinya sinonim dengan penyokong bola sepak Malaysia apabila pernah mewarnai Liga Super bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim 2023.
Namun aksi Amirbek tidak akan dapat ditonton di Pestabola Merdeka. Ini kerana, pengendali Tajikistan, Gela Shekiladze tidak dapat memanggil pemain-pemain dari FC Istiklol.
Pemain-pemain dari Istiklol tidak dapat dipanggil kerana pasukan itu perlu memberikan fokus sepenuhnya kepada kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Shekiladze juga terpaksa melupakan khidmat penjaga gol tinggi lampai yang beraksi untuk FC Rostov di Rusia, Rustam Yatimov untuk kejohanan ini. Ini selepas penjaga gol berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan.
Ketiadaan Amirbek dan Rustam Yatimov telah diisi muka-muka baharu dalam usaha mereka mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka yang dimenangi mereka pada edisi 2023.