Advertisement
Hatrik Cristiano Ronaldo Pastikan Al-Nassr ‘Bungkus’ Al-Fateh
Asia
MakanBola
Al-Nassr FC

Selepas tewas dua kali dalam Saudi Pro League, Cristiano Ronaldo memastikan Al-Nassr meraih kemenangan sulung dalam liga musim ini dengan membenam Al-Fateh 5-0.

Selepas meraih kemenangan ke atas Al-Shabab dalam aksi play-off Liga Juara-Juara AFC (ACL), Al-Alami mahu mendapatkan kemenangan ke atas Al-Fateh sebagai permulaan kempen merampas gelaran liga daripada juara musim lepas, Al-Ittihad.

Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane meletakkan Al-Nassr di hadapan pada minit ke-27. 11 minit kemudian, Ronaldo menggandakan kelebihan pelawat bagi meletakkan Al-Nassr selesa semasa rehat.

Bersambung pada babak kedua, bekas penyerang Manchester United itu menyumbat gol ketiga Al-Alami pada minit ke-55.

Al-Fateh berusaha memastikan keputusan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat. Malangnya, Mane kembali menghantui mereka dengan gol keempat pada minit ke-81.

Ronaldo melengkapkan malam gemilang Al-Nassr dengan hatrik pada minit ke-96 bagi membolehkan mereka meraih tiga mata penuh.

Kemenangan ini menyaksikan mereka kini berada di tangga ke-10 liga dengan tiga mata, enam mata di belakang dua pasukan teratas iaitu Al-Ittihad dan Al-Ahli.

Selepas ini, Al-Nassr akan turun menentang Al-Hazm dalam perlawanan keempat Saudi Pro League yang berlangsung pada 30 Ogos ini.