Penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli mencipta beberapa sejarah tersendiri bila beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Manchester United.
Aksi antara ASEAN All-Stars dan The Red Devils pada 28 Mei itu menyaksikan Haziq diturunkan sebagai penjaga gol gantian pada separuh masa kedua. Beliau masuk menggantikan Patiwat Khammai.
Usaha keras barisan pertahanan termasuk Haziq mengawal gawang memastikan ASEAN All-Stars meraih kemenangan 1-0 pada akhir perlawanan.
Kejayaan itu menyaksikan bekas penjaga gol Perak FC menjadi penjaga gol Malaysia kedua yang menafikan United daripada menjaringkan gol.
Sebelum ini, penjaga gol legenda Sabah, Peter Rajah menjadi orang pertama yang membuatkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berputih mata.
Aksi cemerlang beliau terserlah dalam satu aksi persahabatan menentang United yang diadakan pada 7 Jun 1981. Fakta ini dikongsikan oleh akaun HarimauMYStats.
Haziq turut mencipta sejarah sebagai penjaga gol keempat Malaysia yang berjaya menafikan kelab Inggeris daripada menjaringkan gol.
Sebelum ini, dua penjaga gol legenda negara, R. Arumugam dan Rashid Hassan turut membuatkan kelab Inggeris berputih mata.
Arumugam menjadi duri dalam daging kepada Arsenal dalam aksi persahabatan tahun 1975. Perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 dengan Isa Bakar mencetak nama sebagai penjaring.
Rashid Hassan pula mengecewakan Everton dalam aksi persahabatan tahun 1989. Selepas terikat 0-0 pada akhir perlawanan, The Toffees menang menerusi penentuan sepakan penalti.