Pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio mengakui kecewa kerana pasukan itu tidak dapat menambah kutipan mata dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Selepas berjaya meraih empat mata daripada dua perlawanan Liga Timur ACLE, Harimau Selatan berharap dapat meneruskan momentum dengan mencuri mata daripada Gwangju FC.
Malangnya, percubaan JDT meraih mata di bumi Korea Selatan buat kali ketiga gagal apabila Gwangju menewaskan pasukan itu 3-1.
Dua gol Jasir Asani dan gol sendiri Park Jun-heong memastikan kemenangan milik anak buah Lee Jung-hyo itu. Manakala Harimau Selatan meraih gol saguhati menerusi bek tengah Harimau Malaya, Feroz Baharudin.
Ini bukan saja kekalahan pertama JDT dalam saingan ACLE. Malah, ini juga kekalahan pertama Harimau Selatan untuk kempen musim 2024/25.
Bidoglio mengakui bukan mudah menentang Gwangju meskipun pasukan itu beraksi di Stadium Yongin Mireu sebagai venue alternatif. Ini kerana Gwangju sentiasa mencari ruang untuk melancarkan serangan ke arah pelawat.
Walaupun tewas, Bidoglio tetap memuji semangat juang anak buahnya yang merapatkan jurang gol dengan tuan rumah.
“Ini satu perlawanan yang sukar hari ini tapi saya gembira dengan prestasi pemain saya. Pihak lawan kita mudah melancarkan serangan tetapi kita tidak hilang cara kita.
“Pada pandangan saya, (kedua-dua pasukan) setanding pada separuh masa pertama. Mereka menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan tidak muncul untuk baki perlawanan.
“Pada separuh masa kedua, kita cuba mengawal dan cuba menyerang dari bahagian tepi. Tapi ia satu perlawanan yang sukar tetapi saya gembira dengan prestasi pemain saya dan kita perlu teruskan (usaha berkenaan),” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Keputusan ini menyaksikan JDT kekal di tangga ketiga Liga Timur ACLE dengan empat mata. Walau bagaimanapun, kedudukan ini dijangka berubah apabila lapan lagi pasukan menyelesaikan aksi ketiga mereka.
Kini, fokus Harimau Selatan beralih pula kepada aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada 27 Oktober ini.