Menjelang perlawanan akhir AFC Asian Cup, jurulatih Jordan, Hussein Ammouta mahu kekal fokus tanpa memikirkan hal-hal di luar padang.
Beliau yang hadir ke sidang media berkata, persiapan pasukannya kini dalam keadaan yang terbaik dan bersedia untuk turun beraksi di final.
“Kami sudah bersedia untuk beraksi perlawanan akhir (Piala Asia) dan persiapan kami seperti biasa sahaja kerana kami tidak mahu memberi tekanan yang tinggi kepada para pemain”, katanya ketika sidang media pra perlawanan.
Jurulatih kelahiran Maghribi ini juga tidak mengambil kisah berkenaan berita-berita yang dikeluarkan media dan hanya kekal fokus dengan tugasnya.
”Fokus saya kini untuk perlawanan akhir esok (hari ini) dan saya tidak ambil peduli mengenai apa yang tersebar di media-media luar sana”, kata jurulatih berusia 55 tahun ini.
Beliau juga gembira kejayaan anak-anak buahnya menyingkirkan beberapa negara besar seperti Iraq dan Korea Selatan berjaya menutup mulut pengkritik di luar sana.
”Apabila pasukan kalah, ia salah jurulatih, apabila pasukan menang, ia disebabkan semangat juang yang tinggi. Malangnya inilah yang dilontarkan para pengkritik.”
Ketika ditanya mengenai masa depannya, beliau menjawab, perkara ini akan diputuskan nanti selepas mengharungi satu kempen yang cukup indah membawa Jordan sehingga ke final di Qatar.
”Selepas kejohanan (Piala Asia) ini, kami akan berbincang mengenai masa depan saya”, jawab beliau yang masih mempunyai kontrak bersama Jordan sehingga 2026.
Perlawanan akhir AFC Asian Cup yang mempertemukan juara bertahan yang juga tuan rumah, Qatar dan juga Jordan akan berlangsung di Stadium Lusail pada Sabtu jam 11 malam waktu tempatan.