Ilhan Fandi: Jangan Risau, Saya Akan Kembali Jaringkan Gol

Ilhan Fandi Guam FA Singapore Ilhan Fandi: Jangan Risau, Saya Akan Kembali Jaringkan Gol
FA Singapore
Azim Noor @mohdazim45
12:27pm 15/10/2023

Penyerang muda Singapura, Ilhan Fandi percaya dengan sedikit masa, beliau akan kembali menjaringkan gol.

Penyerang KMSK Deinze itu membuat kemunculan pertama untuk Singapura menentang Guam selepas sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan ACL pada penghujung tahun lalu.

Ilhan yang masuk sebagai pemain gantian menggantikan Shawal Anuar mendapat beberapa peluang menjaringkan gol tetapi kesemua percubaannya tidak berhasil.

Beliau mengakui pada ketika ini sedikit berkarat selepas lama tidak beraksi di atas padang.

Pada masa sama, Ilhan percaya dengan sokongan rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong, kemarau jaringan yang dilaluinya akan berakhir.

“Saya masih rasa diri saya sedikit berkarat. Seperti yang anda lihat, saya sepatutnya dapat menjaringkan dua gol.

“Tapi saya pasti saya akan kembali (menjaringkan gol). Saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana menerajui bahagian serangan hari ini.

“Dan saya fikir saya sedikit sebanyak telah mengecewakan pasukan (Singapura) hari ini,” katanya kepada wartawan Singapura, Ashikin Hashim atau Futbolita.

Singapura meraih kemenangan 2-1 ke atas Guam dalam aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kini, mereka berharap sentuhan Ilhan mampu membantu mereka layak ke pusingan kedua kelayakan menerusi aksi timbal balik pada 17 Oktober ini.