Selepas Rodrigo Holgado, giliran Imanol Machuca pula dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Argentina.
Wartawan Argentina, Nicolas Desimoni melaporkan pemain sayap Harimau Malaya itu kembali berada dalam radar Independiente.
Ini selepas khidmat Machuca ditawarkan kepada kelab yang diberi jolokan El Rojo itu. Ini bukan kali pertama pemain kelahiran Roldan itu dikaitkan dengan Independiente.
Sebelum menyertai kelab Brazil, Fortaleza, Machuca turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab itu. Pada akhirnya, beliau menyertai Fortaleza dengan yuran perpindahan €2.25 juta (RM11.2 juta) pada 2023.
Meskipun pengendali Independiente, Julio Vaccari dilaporkan berminat mendapatkan Machuca, perpindahan pemain sayap itu dilihat bukan keutamaan beliau.
Ini kerana menurut Desimoni, El Rojo dikatakan menilai prospek perpindahan seorang pemain baharu dari luar negara.
Machuca ketika ini bersama Velez Sarsfield selepas menyertai kelab itu secara pinjaman pada Januari lalu. Beliau akan kekal di kelab itu sehingga akhir tahun 2025.
Machuca sudah merekodkan 11 penampilan bersama Velez setakat ini.