Bersempena aksi final pada Sabtu, mari kita imbau kembali perlawanan akhir Piala Malaysia yang menemukan JDT dan Pahang pada tahun 2014 yang lalu.
Pahang yang ketika itu dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan turun pada aksi tersebut berbekalkan status juara bertahan setelah menumbangkan Kelantan di perlawanan akhir edisi sebelumnya.
Sementara pasukan JDT pula dikendalikan oleh jurulatih yang tidak asing lagi, Bojan Hodak mara ke final setelah mengatasi Felda United pada pertemuan separuh akhir yang cukup epik dengan keputusan 6-5.
Kesebelasan Utama JDT dan Pahang
22- Al-Hafiz Hamzah (Penjaga Gol)
18- Mahali Jasuli.
44- Marcos Antonio.
27- Fadhli Shas.
4- Asraruddin Putra Omar.
21- Jasazrin Jamaluddin.
8- Safiq Rahim (Kapten)
16- Shakir Shaari.
17- Amri Yahyah.
19- Luciano Figueroa.
42- Jorge Pereyra Diaz.
1- Khairul Azhan Khalid (Penjaga Gol).
3- Saiful Nizam Miswan.
4- Damion Stewart.
13- Razman Roslan (Kapten).
20- Shahrizan Salleh.
11- Faizol Hussein.
8- Azidan Sarudin.
12- Azamuddin Akil.
24- R. Gopinathan.
9- Matias Conti.
10- Dickson Nwakaeme.
’Orang besi’ Pahang, Dickson Nwakaeme meletakkan Pahang terlebih dahulu di hadapan seawal minit ke-15 sebelum Jorge Pereyra Diaz serta Luciano Figueroa memastikan JDT dahului aksi di babak pertama.
Malang menimpa pasukan Pahang apabila bek kanan, Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nagor Amir pada minit ke-70, memaksa Tok Gajah beraksi dengan 10 orang pemain.
Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang Pahang untuk mencetak gol penyamaan menerusi Dickson Nwakaeme di minit ke-71 sekaligus mengakhiri aksi 90 minit dengan skor 2-2.
Tiada jaringan dapat dihasilkan juga pada masa tambahan 30 minit selepas itu membuatkan pertemuan di hadapan sekitar 80 ribu penyokong ini berlanjutan ke aksi penentuan sepakan penalti.
Kesemua 3 tendangan awal berhasil disempurnakan dengan baik oleh kedua-dua pasukan sebelum sepakan pemain JDT, Norshahrul Idlan berhasil dinafikan oleh penjaga gol Pahang, Khairul Azhan.
Aksi final ini berakhir dengan keputusan sepakan penalti 5-3 memihak Pahang dan membantu skuad Tok Gajah ini muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-4 dalam sejarah pasukan.
Kini, selepas 11 tahun, kedua-dua pasukan akan bertemu lagi di pentas final Piala Malaysia dengan JDT pastinya ketika ini berada di tahap terbaik untuk mempertahankan kejuaraan ini.