Persembahan cemerlang yang ditampilkan pemain muda Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi mendapat pujian bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak.
Susulan kekalahan 2-0 di tangan Negeri Sembilan FC pada 13 Julai lalu, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad melakukan perubahan dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang KL City FC.
Antara pemain yang diberi peluang oleh Fandi ialah Ibrahim, Ashar Al-Aafiz Abdullah, Saiful Jamaluddin dan penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri.
Meskipun ini penampilan pertamanya bersama skuad utama Tok Gajah, Ibrahim dilihat tidak kekok mengawal bahagian tengah bersama Saiful.
Malah, pemain berusia 22 tahun itu juga berusaha memberi cabaran kepada pemain-pemain tengah KL City yang lebih berpengalaman seperti Paulo Josue dan Zhafri Yahya. Perlawanan yang berlangsung pada 27 Julai lalu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Zaquan melihat persembahan Ibrahim sebagai bukti pemain tempatan terutama pemain muda mampu menyerlah sekiranya diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
“Cukup-cukup baik. Bagi saya, penampilannya pada malam ini tidak terlalu kekok berada dalam kesebelasan utama. Dan dia (Ibrahim Manusi) melakukan tugasnya dengan baik dengan (memanfaatkan) saiz tubuh yang dimiliki dia.
“Dan itu membuktikan pemain tempatan juga boleh bermain dengan baik jika diberi peluang. Ini yang saya mahukan (iaitu) keberanian setiap pasukan menurunkan pemain-pemain sebegini,” katanya semasa menjadi panel perlawanan KL City-Sri Pahang di Astro Arena.
Pandangan Zaquan turut disokong bekas kapten skuad Tok Gajah, Razman Roslan. Razman menyifatkan Ibrahim bukan saja matang bila mengawal bahagian tengah pasukan itu.
Malah, Ibrahim disifatkan antara pemain Sri Pahang yang menunjukkan prestasi konsisten sepanjang 90 minit perlawanan.
“Pada saya, dia (Ibrahim) sangat matang dan yakin berada di (bahagian) tengah malam ini. Dia mengawal dan memberi keseimbangan di bahagian tengah pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua.
“Selepas kemasukan Azam Azih, menambah sedikit kekuatan dengan membuat hantaran-hantaran pendek. Ini menyebabkan pada separuh masa kedua, Sri Pahang lebih menguasai permainan.
“Dan saya rasa dia antara pemain yang paling konsisten dalam 90 minit,” ujar bekas pemain pertahanan kebangsaan itu.
Selepas ini, Sri Pahang akan turun menentang Selangor FC di Temerloh pada 31 Julai ini.