Tonggak import baru skuad futsal Selangor FC, Gabriel Rosa sudah menunjukkan taringnya dalam Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.
Ini selepas pemain berusia 27 tahun itu membantu Selangor mengalahkan juara MPFL musim 2023, Pahang Rangers 6-5 dalam aksi terbaru Divisyen 1 pada 29 Jun lalu.
Penyerang muda skuad futsal kebangsaan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan meletakkan Merah Kuning di hadapan pada minit kedua. Seminit selepas itu, Wellington Pereira pula mencipta nama sebagai penjaring.
Belum sempat anak buah Gerard Casas memperkemaskan rentak, Selangor terus mengganas dengan gol ketiga menerusi Muhammad Faris Mohd Johan pada minit kelapan.
Wellington Pereira menyumbat gol kesembilannya dalam Divisyen 1 MPFL pada minit ke-11. Pahang Rangers merapatkan jurang menerusi Felipe de Souza dan Murilo Saad masing-masing pada minit ke-12 dan 14.
Syahir Iqbal Khan kembali menambah kelebihan Selangor menerusi gol pada minit ke-15. De Souza menyumbat gol ke-13 dalam Divisyen 1 menerusi gol pada minit ke-16.
Rosa menceriakan kem Selangor dengan menyumbat gol pertamanya pada minit ke-17. Keputusan 6-3 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Pahang Rangers terus memburu gol untuk merapatkan jurang dengan Merah Kuning.
Hasilnya, anak buah Casas berjaya mendapat gol keempat dan kelima hasil sumbangan Akmarulnizam Mohd Idris dan Mohamad Sufri Shamil pada minit ke-28 dan 32.
Walau bagaimanapun, gol tersebut sudah terlambat untuk menghalang Rosa dan Selangor meraikan tiga mata penuh pada akhir perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor di tangga keempat dengan 15 mata, enam mata di belakang Pahang Rangers di tempat kedua.
Rosa dibawa masuk pengurusan Selangor sebagai pengganti pemain import sebelumnya, Matheus Vasconcelos Silva atau Ceara. Beliau memilih meninggalkan pasukan pada akhir Mei lalu atas sebab keluarga dan faktor kecederaan.
Selain Brazil, Rosa juga pernah berkelana sejauh Portugal dan China. Antara kelab yang pernah diwakilinya ialah SC Braga, Unidos Pinheirense dan Lagoa Futsal.