India meminta agar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat kemenangan Qatar dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi ke-6 Kelayakan Piala Dunia dengan harapan India untuk mencuri mata bagi melayakkan diri ke pusingan ketiga.
Usaha itu bagaimanapun diranapkan oleh jaringan yang dihasilkan oleh Yousef Aimen pada minit ke-73 sekaligus menghantar Qatar dan Kuwait ke pusingan berikutnya.
Jaringan tersebut telah dipertikai oleh pemain India susulan bola difahamkan telah keluar sepenuhnya daripada kawasan permainan.
Semua pemain India berhenti kerana menyangka bola terkeluar untuk tendangan sudut sebelum tiba-tiba Abdullah Alahrak menendang bola semula ke dalam padang untuk disudahkan dengan jaringan tersebut dikira.
Pemain India bertindak balas terhadap keputusan itu namun pengadil Korea Selatan masih berpegang pada keputusan yang diberikan olehnya.
Ketiadaan VAR pada pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2026 menyebabkan jaringan itu tidak disemak.
Sehari selepas insiden itu, presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey berkata bahawa menang dan kalah adalah sebahagian daripada bola sepak tetapi gol Qatar meninggalkan beberapa persoalan yang tidak terjawab.
AIFF telah menghantar surat kepada penganjur kelayakan Piala Dunia FIFA, Ketua Jawatankuasa Pengadil Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan penyelia perlawanan untuk menyemak gol penyamaan Qatar.
“Disebabkan faktor penting kejadian itu, kami menyeru pihak berkaitan untuk menyiasat perkara ini secara menyeluruh.
“Kami mahu mereka mempertimbangkan pelan pampasan untuk membawa keadilan kepada India. Kami mempercayai FIFA dan AFC untuk mengambil langkah yang perlu untuk melakukannya,” Chaubey memberitahu akhbar India, The Hindu.