Advertisements
India Panggil 26 Pemain Terbaik Hadapi Harimau Malaya
Asia
MakanBola
India Football Team

India telah memanggil seramai 26 pemain bagi menghadapi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan pada November ini.

Anak didik Manolo Marquez dijadualkan berdepan hanya satu perlawanan persahabatan bagi jendela antarabangsa FIFA di bulan November ini iaitu bertemu Malaysia di Stadium GMC Balayogi Gachibowli.

Bagi menghadapi skuad negara bimbingan Pau Marti, India telah mengumumkan senarai nama 26 pemain yang bakal menyertai kem latihan di Hyderabad bermula 11 November ini.

Tiga orang penjaga gol masih dikekalkan dengan tonggak berpengalaman yang juga kapten, Gurpreet Singh Sandhu bakal ditemani Amrinder Singh dan Vishal Kaith.

Di barisan pertahanan, seramai 9 orang pemain dipanggil dengan nama-nama seperti Sandesh Jhingan, Rahul Breke dan Anwar Ali dijangka menjadi taruhan di benteng India.

Brandon Fernandes dan Suresh Singh Wangjam tetap menjadi pilihan Manolo Marquez di jentera tengah pasukan sambil ditemani enam lagi pemain bagi mencabar posisi tersebut.

Di posisi penyerang, India membawa seramai enam orang pemain dengan Farukh Choudhary dan bintang meningkat naik, Irfan Yadwad dipanggil untuk mengetuai serangan The Blue Tigers.

Aksi India berdepan Malaysia dijadualkan berlangsung pada 18 November hadapan setelah skuad negara bertemu Laos dalam satu lagi aksi persahabatan empat hari sebelum itu di Thailand.