India sah menarik diri daripada saingan FIFA ASEAN Cup 2026. Keputusan itu disahkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey.
Chaubey mengakui ini bukan satu keputusan mudah. Pada masa sama, beliau melihat peluang menentang Brazil dalam aksi persahabatan sebagai satu peluang yang hanya berlaku seumur hidup.
“Kami tidak dapat menyertai FIFA ASEAN Cup kerana komitmen kami dengan Persekutuan Bola Sepak Brazil. Terdapat juga masalah teknikal kerana hanya empat perlawanan yang boleh dimainkan semasa kalendar (perlawanan antarabangsa FIFA).
“Kami telah memaklumkan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan semua pegawai sedia maklum mengapa kami terpaksa membuat keputusan ini.
“Bermain dengan Brazil mungkin peluang sekali seumur hidup untuk pemain India. Ia adalah sesuatu yang boleh mempromosikan sukan ini di seluruh negara kita,” kata Chaubey seperti dilaporkan The Times of India.
Keputusan ini sekaligus mengesahkan laporan media yang menyatakan India akan menarik diri daripada kejohanan itu.
Chaubey turut memaklumkan India akan mengatur dua lagi aksi persahabatan berkualiti selain aksi menentang Brazil. India dijangka menentang dua pasukan yang memiliki ranking yang lebih tinggi bagi membantu anak buah Khalid Jamil.
“FIFA ASEAN Cup merupakan pertandingan yang penting dan telah menarik minat ramai. Kami pasti akan merinduinya,” tambahnya.
“Tetapi kami akan memanfaatkan sepenuhnya jendela antarabangsa FIFA ini agar India dapat bermain dua lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan berkualiti, pasukan yang berada pada ranking yang jauh lebih tinggi daripada India. Kami boleh belajar banyak daripada perlawanan yang sukar ini.”
India berdepan kemungkinan didenda 15,000 Swiss franc (RM75,400). Denda tersebut terpakai kepada mana-mana pasukan yang menarik diri tidak kurang daripada 30 hari sebelum perlawanan pertama mengikut peraturan kejohanan.
Chaubey percaya India tidak akan dikenakan denda kerana telah menghantar penjelasan terperinci kepada Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom.