India Dilaporkan Mahu Tarik Diri FIFA ASEAN Cup
MakanBola
AIFF

India dilaporkan mahu menarik diri daripada saingan FIFA ASEAN Cup kerana ingin memberi fokus kepada aksi persahabatan menentang Brazil.

Khel Now melaporkan kemungkinan itu timbul susulan pertembungan jadual perlawanan itu dengan saingan FIFA ASEAN Cup.

Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) cuba mengemukakan kompromi dengan menghantar pasukan India Bawah 23 Tahun (B-23) atau skuad India B sebagai pengganti ke kejohanan berkenaan.

Walau bagaimanapun, permohonan AIFF telah ditolak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Susulan itu, AIFF akan membuat keputusan tentang status mereka dalam kejohanan itu.

Sekiranya India memilih aksi menentang Brazil, AIFF perlu menyediakan pakej kewangan sehingga 70 juta rupee (RM286 juta). Pakej tersebut merangkumi jualan tiket, penaja dan sokongan kerajaan Bengal Barat untuk membawa Brazil beraksi di Kolkata.

Sesetengah pihak percaya perlawanan ini dilihat menjadi modal kempen Presiden AIFF, Kalyan Chaubey untuk mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan badan induk itu yang seterusnya.

Meskipun begitu, bekas penyerang Perak, Bhaichung Bhutia menggesa AIFF agar memikirkan semula usul menarik diri daripada FIFA ASEAN Cup.

Bhutia yang juga bekas kapten India menganggap idea tersebut akan menjejaskan pembangunan jangka panjang skuad kebangsaan India.

“Saya ingin tegaskan bahawa pasukan utama India harus pergi dan bermain dalam FIFA ASEAN Cup. Ia pertandingan yang jauh lebih baik daripada Kejohanan SAFF. Dari segi kewangan, anda juga mendapat yuran penyertaan dan, jika anda berjaya, terdapat hadiah wang yang lumayan untuk dimenangi.

“Lebih penting lagi, ia bagus untuk perkembangan pasukan. Tiga atau empat perlawanan kompetitif jauh lebih bermanfaat untuk pemain. Ia satu kejohanan yang bagus untuk para pemain beraksi,” katanya.

Bhutia mengakui idea menentang Brazil merupakan satu peluang yang hanya hadir seumur hidup. Pada masa sama, beliau melihat ia sama sekali tidak membantu pembangunan skuad yang dibimbing Khalid Jamil itu.

“Brazil tetap Brazil, dan ia sesuatu yang hebat untuk bermain menentang mereka. Tetapi masanya tidak tepat,” ujarnya.

“Anda hanya bermain satu perlawanan. Apa yang akan anda perolehi daripadanya dari segi pembangunan jangka panjang pasukan kebangsaan?”

India berada dalam Kumpulan A Divisyen Premier bersama Malaysia, tuan rumah Indonesia dan Singapura.