India Uji Brazil
MakanBola
IF/CF

India bakal menguji pasukan gergasi Amerika Selatan, Brazil dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober ini.

Pengumuman aksi tersebut dibuat Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) menerusi satu kenyataan ringkas di semua platform rasmi badan berkenaan.

“Satu tarikh untuk buku sejarah,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan. Perlawanan itu akan berlangsung pada 3 Oktober ini di Stadium Salt Lake, Kolkata.

Apa yang menarik ialah tarikh tersebut jatuh pada tarikh sama hari terakhir FIFA ASEAN Cup berlangsung. India akan bersaing dalam kejohanan itu dalam Kumpulan A bersama Malaysia, Singapura dan tuan rumah, Indonesia.

Sehingga artikel ini ditulis, AIFF masih belum menyatakan pasukan mana yang akan dihantar dengan mengambil kira faktor FIFA ASEAN Cup.

Yang pasti, Brazil akan bertandang ke India tanpa kelibat bintang veteran, Neymar. Bekas bintang Barcelona itu menegaskan beliau sudah bersara dari arena bola sepak antarabangsa.

Pendirian itu ditegaskan Neymar kepada media selepas aksi Copa Sudamericana menentang kelab Venezuela, Universidad Central baru-baru ini.

“Saya fikir perjalanan saya bersama skuad kebangsaan sudah berakhir. Saya sudah mencipta sejarah di sana dan sangat gembira dengan segala yang dilalui.

“Saya memberikan keringat dan seluruh jiwa untuk pasukan serta sentiasa berjuang demi jersi kuning Brazil. Namun, saya rasa saya tidak mahu lagi meneruskannya,” katanya seperti dilaporkan TNT Sports Argentina.

Selain India, Brazil juga akan menentang satu lagi pasukan Asia, Australia. Kedua-dua pasukan dijadual bertemu pada 25 dan 29 September ini.