Advertisement
India Ujian Singapura, Malaysia Hadapi Cabaran Hebat Vietnam
Asia
MakanBola
FAM/FAS

Dua pasukan Asia Tenggara, Malaysia dan Singapura bakal berdepan cabaran berbeza dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama dua negara serantau, Laos dan Vietnam. Satu lagi pasukan berada dalam kumpulan tersebut ialah Nepal.

Vietnam dilihat mula bangkit di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Kim Sang-sik. Selain mara ke separuh akhir ASEAN Championship 2024, pasukan itu turut diperkuat penyerang naturalisasi, Nguyen Xuan Son.

Xuan Son atau nama sebenarnya Rafaelson berpotensi disertai seorang lagi pemain Brazil, Hendrio. Hendrio dilaporkan antara nama yang diintai Vietnam sebagai calon pemain naturalisasi seterusnya.

Meskipun dilabel pasukan kerdil, Laos dilihat mempamerkan peningkatan di bawah jurulatih Korea Selatan, Ha Hyeok-jun.

Ini kerana Laos hanya tewas sekali dan seri tiga kali dalam saingan peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024. Ini termasuk kejayaan mengikat Indonesia 3-3.

Singapura pula berada dalam Kumpulan C bersama Hong Kong, Singapura dan India. Ini satu cabaran buat The Lions kerana India dan Hong Kong memiliki ranking lebih baik berbanding pasukan itu.

India dan Hong Kong masing-masing menduduki ranking ke-125 dan 155 dunia. Meskipun Bangladesh berada di kedudukan ke-185 dunia, pasukan itu juga sibuk membuat persiapan untuk kempen kelayakan.

Salah satu daripadanya ialah merekrut pemain tengah Leicester City, Hamza Choudhury sebagai pemain warisan terbaru pasukan itu.

Kempen kelayakan Piala Asia 2027 bakal membuka tirainya pada 25 Mac ini.