Pemain tengah Leicester City, Hamza Choudhury bakal mewakili Banglandesh di peringkat antarabangsa.
Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Bangladesh (BFF) memaklumkan pemain tengah berusia 27 tahun itu telah menerima lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili negara itu.
“Persekutuan Bola Sepak Bangladesh dengan sukacitanya memaklumkan Hamza Dewan Choudhury telah mendapat kebenaran beraksi untuk Bangladesh.
“Keputusan ini telah dibuat oleh Dewan Status Pemain di Tribunal Bola Sepak FIFA,” kata BFF dalam satu kenyataan ringkas.
Anak jati Loughborough itu mula berminat mewakili The Bengal Tigers selepas merasakan peluangnya mewakili England tipis.
Akhbar Dhaka Tribune melaporkan kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan untuk mewakili Bangladesh pada Februari lalu. Ini disusuli dengan Choudhury menerima pasport negara itu pada Ogos lalu.
BFF kemudiannya membuat permohonan sijil kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak (FA) sebelum mendapatkan kebenaran FIFA.
Berita ini menjadikan Choudhury sebagai pemain Bangladesh pertama beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain tengah yang pernah mewakili Watford itu menyifatkan ia satu penghormatan untuk menyarung jersi The Bengal Tigers.
“Saya sangat gembira dengan semua urusan sudah diselesaikan. Saya tak sabar beraksi untuk Bangladesh,” katanya.
Khidmat Choudhury bakal ditagih jurulatih Bangladesh, Javier Cabrera untuk kempen kelayakan Piala Asia 2027. Bangladesh berada dalam Kumpulan C bersama Hong Kong, Singapura dan India.