Selepas meraih kemenangan ke atas Laos, Malaysia kini mengalihkan fokus untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 FIFA menentang India pada November ini.
Aksi ini bakal berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada 18 November. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak aksi Pestabola Merdeka 2023.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente hanya memiliki khidmat 23 pemain untuk aksi ini. Ini selepas tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matthew Davies kembali menyertai pasukan itu.
Trio ini dipanggil bagi memudahkan perancangan perjalanan pasukan itu ke China untuk aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) pada 21 November. Perjalanan itu dibuat sehari selepas skuad negara dijadual pulang ke tanah air pada 20 November.
JDT dijadual bakal bertemu Shandong Taishan untuk aksi terbaru Liga Timur ACLE pada 26 November. Hanya Syihan Hazmi Mohamed yang kekal bersama Harimau Malaya untuk aksi menentang The Blue Tigers.
India pula turun tanpa beberapa tonggak yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan. Antara yang terpaksa disisihkan Manolo Marquez ialah Aakash Sangwan, Asish Rai, Anirudh Thapa dan Vikram Partap Singh.
Berdasarkan prestasi semasa, Malaysia kini merekodkan empat kemenangan dan satu kekalahan. Ini termasuk kemenangan 3-1 ke atas Laos pada 14 November lalu.
India pula masih belum merekodkan sebarang kemenangan sejak 17 November 2023. Tarikh tersebut menyaksikan The Blue Tigers menewaskan Kuwait 1-0.
Rekod pertemuan lalu menyaksikan Malaysia memiliki kelebihan dua kemenangan ke atas India dalam lima pertemuan terakhir. Selain aksi Pestabola Merdeka 2023, India turut kecundang kepada skuad negara dalam kejohanan sama edisi 2001.
The Blue Tigers tewas 2-1 kepada skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) pada 22 Jun 2021. Skuad negara meraih dua gol menerusi Nizaruddin Yusof dan Indra Putra Mahayuddin.
India pula membalas menerusi Jules Alberto. Satu-satunya kemenangan India ke atas Malaysia dalam tempoh ini ialah aksi persahabatan pada 16 November 2011.
India menyumbat tiga gol menerusi dua gol Sunil Chhetri dan Jeje Lalpekhlua. Malaysia pula menyumbat gol saguhati menerusi dua gol Safee Sali.
Menariknya, ramai pemain yang beraksi atau di bangku simpanan untuk aksi 2023 turut tersenarai dalam skuad Pau Marti. Antara pemain yang dimaksudkan ialah Sergio Aguero, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Dion Cools.
India membawa beberapa nama seperti kapten, Gurpreet Singh Sidhu, Mehtab Singh, Sandesh Jhingan dan Rohit Kumar.
Aksi menentang India merupakan aksi terakhir skuad negara sebelum bersedia menghadapi ASEAN Championship 2024 yang bermula pada 8 Disember ini.