Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berterima kasih kepada Harimau Malaya.
Skuad Harimau Malaya telah meminta agar tiga tonggak utama iaitu Arif Aiman, Feroz Baharudin dan juga Matthew Davies pulang ke kelab lebih awal daripada tugasan kebangsaan.
Johor Southern Tigers merakamkan ucapan penghargaan kepada Harimau Malaya terutamanya ketua jurulatih, Pau Marti yang memberikan kelonggaran tersebut.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memohon perlepasan awal Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matt Davies disebabkan oleh perancangan perjalanan menjelang aksi kami di Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) menentang Shandong Taishan.
“Kami dijadualkan berlepas ke China pada 21 November, yang mana hanya sehari (20 Nov) selepas pemain-pemain kebangsaan pulang selepas perlawanan Harimau Malaya menentang India pada 18 November,” jelas kenyataan kelab.
JDT mengambil serius persiapan bagi kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar yang dilakukan musim ini dengan harapan dapat menjalani kempen dengan cemerlang.
Hal ini bukan sahaja akan meningkatkan status kelab di Asia tetapi juga meningkatkan ranking Malaysia dalam kejohanan kelab Asia.
JDT melihat situasi ini akan memberikan manfaat buat bola sepak Malaysia kerana lebih banyak kelab boleh beraksi di kejohanan elit Asia pada musim-musim akan datang.
JDT bagaimanapun membenarkan penjaga gol, Ahmad Syihan untuk terus kekal bersama pasukan kebangsaan atas sebab menggunakan khidmat pemain import pada posisi penjaga gawang.
“Kami telah mencapai kata sepakat bersama skuad Harimau Malaya agar penjaga gol, Syihan Hazmi kekal bersama skuad kebangsaan kerana Harimau Selatan telah menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre di ACLE setakat ini.
“Kami berbesar hati dengan Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyokong kempen kami di ACLE dan JDT akan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027,” tambah kenyataan CEO JDT, Alistair Edwards.
Malaysia hanya membawa 23 orang pemain bagi aksi menentang pasukan ke-125 dunia, India pada 18 November di Hyderabad.