Malaysia bakal berdepan cabaran India tanpa kelibat tiga tonggak utama iaitu Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin.
Perkara ini diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi badan induk itu.
Ketiadaan tiga tonggak ini berlaku kerana pasukan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT) memohon tiga pemain tersebut diberi pelepasan awal untuk pulang ke tanah air.
Ini kerana JDT bakal berdepan KL Rovers untuk aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 pada 20 November ini.
“Ia susulan jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16, Unifi Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu, 20 November 2024.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekaligus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Penjaga gol utama Harimau Selatan, Syihan Hazmi Mohamed akan terus bersama Harimau Malaya untuk aksi menentang India pada 18 November ini.
Skuad negara mendapat pendorong semangat apabila menewaskan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan pertama di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu.