Hasrat wakil tunggal Asia Tenggara, Indonesia meraih tiga mata pertama dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 tidak kesampaian setelah terikat seri dengan Bahrain pada awal pagi Jumaat.
Setelah berjaya mengikat Arab Saudi dan Australia sebelum ini, Indonesia terbang ke Riffa untuk bertemu Bahrain pada aksi ketiga peringkat kumpulan C dengan misi mengutip tiga mata.
Sang Garuda diperkuat dengan kehadiran pemain warisan terbaharu, Mees Hilgers di benteng pertahanan sementara gandingan Ali Madan dan Komail Al Aswad menjadi taruhan Bahrain.
Aksi berlangsung seimbang sebelum sepakan percuma jarak jauh oleh Jasim Marhoon menggegar gawang Indonesia dan disahkan oleh pengadil untuk gol pertama Bahrain pada minit ke-15.
Ketika aksi di babak pertama dilihat bakal memihak Bahrain, Ragnar Oratmangoen muncul wira buat Indonesia dengan jaringan penyamaan hasil penyudah di dalam kotak penalti lawan.
Separuh masa pertama tamat, Bahrain 1-1 Indonesia.
Kembali dari rehat, Shin Tae-yong membawa masuk Rizky Ridho dan pemain warisan baharu, Eliano Reijnders bagi memperkukuh jentera pertahanan dan tengah skuad Garuda.
Pada minit ke-74, penyerang Brisbane Roar, Rafael Struick meletakkan Indonesia di hadapan menerusi satu percubaan kaki kanan untuk menewaskan Ebrahim Lutfalla buat kali kedua.
Seakan tersentak, anak didik Dragan Talajic mula mengatur serangan ke arah kubu pelawat hasil gerakan dari Ali Madan dan Vincent Emmanuel namun gawang Maarten Paes kekal utuh.
Ketika aksi di masa tambahan, Bahrain dihadiahkan sepakan sudut dan Jasim Marhoon muncul penyelamat tuan rumah dengan menyambar peluang di hadapan pintu gol untuk meyamakan skor.
Perlawanan di Stadium Nasional Bahrain berakhir dengan keputusan terikat 2-2.
Selepas ini, Indonesia bakal berangkat ke Qingdao untuk aksi berdepan China pada 15 Oktober hadapan manakala Bahrain pula akan menentang Arab Saudi di Jeddah sehari kemudian.