Skuad kebangsaan Indonesia berpeluang untuk mengatasi kedudukan ranking Malaysia menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026.
Malaysia bakal turun berdepan Chinese Taipei dalam misi besar untuk menyalakan harapan seluruh rakyat Malaysia bagi menyaksikan kejayaan pasukan mara ke pusingan seterusnya.
Harimau Malaya memerlukan sekurang-kurangnya 7 jaringan ke atas Chinese Taipei sambil mengharapkan pasukan ke-77 dunia, Oman dapat mengatasi Kyrgyzsyan di laman sendiri.
Kemenangan ke atas Chinese Taipei bakal membolehkan Harimau Malaya memungut tambahan +10.23 mata dan menjadikan mata keseluruhan kepada 1107 mata untuk berada di kedudukan ke-133 dunia, melonjak dua anak tangga.
Walau bagaimanapun, Indonesia yang bakal menerima kunjungan Filipina di Jakarta pada Selasa berpeluang untuk memusnahkan hajat skuad negara sekiranya Sang Garuda turut berjaya mencatatkan kemenangan.
Mengikut kiraan Ranking FIFA, skuad kendalian Shin Tae-yong bakal memperoleh tambahan +11.72 mata sekiranya menewaskan Filipina dan menjadikan mata keseluruhan yang terkumpul sebanyak 1108.99 mata.
Mata keseluruhan yang dikumpul oleh Indonesia iaitu sebanyak 1108.99 mata dibezakan hanya satu mata berbanding skuad negara yang mengumpul 1107 mata sekiranya kedua-dua pasukan meraih kemenangan.
Dengan ini, Indonesia akan kembali memintas kedudukan ranking skuad negara setelah jatuh dua anak tangga akibat kekalahan di tangan Iraq minggu lalu sementara Malaysia berjaya mencuri satu mata di Kyrgyzstan.
Aksi Malaysia menentang Chinese Taipei akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa manakala Indonesia bakal menentang Filipina di Stadium Gelora Bung Karno pada hari yang sama.