Selepas Arab Saudi, Indonesia pula mempunyai keinginan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 dengan gagasan membentuk pakatan dengan Malaysia, Singapura dan Australia.
Perkara itu dinyatakan Ketua Umum PSSI, Erick Thohir semasa ditemubual akhbar Sydney Morning Herald.
Pemilik Oxford United itu menyifatkan jika itu berlaku, mereka mampu memberi saingan kepada bidaan yang dibuat oleh Arab Saudi.
“Kita sedang bincangkan (hal bidaan) dengan Australia. Bila saya melawat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara berminat menyertai (bidaan) Indonesia dan Australia.
“Kita sangat kuat (dari segi bidaan). Saya fikir FIFA akan lihat wilayah Timur Tengah sudah menjadi tuan rumah menerusi Qatar pada tahun lepas.
“Jepun dan Korea (Selatan) juga sudah menjadi tuan rumah. Saya pasti FIFA mahu cuba negara-negara lain. Kemungkinan untuk menang jika kita bekerjasama dengan Australia, Malaysia dan Singapura juga lebih besar,” katanya seperti dipetik Inside The Games.
Setakat artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi dibuat oleh PSSI berkenaan perkara ini.
Arab Saudi masih dilihat pilihan utama untuk memenangi bidaan kerana mendapat sokongan AFC. Bagi negara yang berminat, bidaan perlu dihantar kepada FIFA sebelum tarikh tutup 31 Oktober ini.
Asia menjadi pilihan tuan rumah Piala Dunia 2034 disebabkan penglibatan tiga benua sebagai tuan rumah Piala Dunia 2030 iaitu Amerika Selatan, Afrika dan Eropah.
Argentina, Uruguay dan Brazil berperanan sebagai penganjur perlawanan pembukaan kumpulan. Manakala Portugal, Sepanyol dan Maghribi pula sebagai tuan rumah untuk semua baki perlawanan Piala Dunia 2034.