Negara-negara Asia mempunyai peluang besar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 berdasarkan pengumuman FIFA semalam.
Footy Rankings mendedahkan perkara ini berlaku disebabkan Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico sebagai tuan rumah Piala Dunia 2026. Ini disusuli pengumuman bahawa enam negara sebagai tuan rumah Piala Dunia 2030 iaitu Brazil, Uruguay, Argentina, Portugal, Sepanyol dan Maghribi.
AS, Kanada dan Mexico merupakan negara anggota CONCACAF. Manakala penganjur Piala Dunia 2030 pula membabitkan tiga badan bola sepak benua iaitu UEFA (Sepanyol dan Portugal), CONMEBOL (Argentina, Brazil dan Uruguay) dan CAF (Maghribi).
Justeru, ini membuka pintu seluas-luasnya kepada negara-negara Asia dan Oceania untuk tampil dan membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034.
Tidak lama selepas kenyataan itu dibuat, Arab Saudi menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan.
“Kami percaya masa sudah tiba untuk Arab Saudi menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA. Bidaan kami didorong oleh rasa cinta kepada bola sepak dan keinginan melihat ia berkembang di setiap pelosok dunia.
“Kami mahu meraikan budaya bola sepak kami dan berkongsi negara kami dengan dunia. Kami menerima minat Arab Saudi terhadap inovasi dan pertumbuhan tatkala kami membuat bidaan untuk kejohanan berstatus ikonik ini; pengembaraan perubahan negara ini menjadi pendorong di sebalik bidaan kami.
“Kami komited untuk menjadi tuan rumah temasya hebat ini yang meraikan permainan, mengagumkan pemain dan peminat serta menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al Misehal.
Kenyataan SAFF ini turut disokong oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa.
“Seluruh keluarga bola sepak Asia akan berdiri bersama menyokong inisiatif hebat Arab Saudi dan kami komited untuk bekerjasama rapat dengan keluarga bola sepak global untuk memastikan ia berjaya,” katanya.
Selain Arab Saudi, Australia juga dikhabarkan berminat membida hak tuan rumah Piala Dunia 2024.
The Guardian melaporkan Australia dijangka mengemukakan pelan tuan rumah bersama dengan New Zealand atau negara-negara Asia Tenggara.
Bagi negara-negara yang berminat, mereka perlu mengemukakan bidaan mereka kepada FIFA sebelum tarikh tutup 31 Oktober ini.