Indonesia Menyala Tumbangkan China
MakanBola
Persija

Indonesia mengukuhkan tempat di kedudukan kumpulan C Kelayakan Piala Dunia setelah mengatasi China pada Khamis.

Pertembungan di Jakarta ini mustahak kepada kedua-dua pasukan dengan Indonesia ketika ini berada di laluan tepat bagi mara ke pusingan seterusnya tatkala China di tempat tercorot kumpulan C.

Bekas penjaga gol Inter Milan, Emil Audero tampil buat kali pertama di dalam kesebelasan utama Indonesia manakala China turun tanpa peledak berbisa yang juga ketua pasukan, Wu Lei.

Permainan berlangsung sedikit perlahan di awal aksi dengan penguasaan bola tampak lebih memihak Sang Garuda tetapi benteng pertahanan China mudah untuk menyekat serangan itu.

Pada minit ke-41, pemain sayap Indonesia, Ricky Kambuaya telah dikasari oleh pertahanan China di dalam kotak penalti lalu memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti.

Tugas penting itu diserahkan kepada pemain Oxford United, Ole Romeny dan penyerang berusia 25 tahun tersebut tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti buat Indonesia.

Separuh masa pertama tamat, Indonesia 1-0 China.

Bersambung babak kedua, pelawat kelihatan sudah tertekan dan berusah bagi mencari jalan menembusi pertahanan tuan rumah namun penyudah yang tumpul telah menghampakan China.

Aksi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Indonesia.

Aksi terakhir kumpulan bakal menyaksikan Indonesia akan terbang ke Suita untuk menentang Jepun manakala China bakal melayani kunjungan Bahrain pada 10 Jun hadapan.