Pentas akhir Indonesia Open menyaksikan wakil tunggal beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terpaksa akur tunduk di tangan jaguh China, Liang Weikeng-Wang Chang.
Setelah mengharungi aksi menakjubkan di Indonesia apabila mengejutkan beberapa nama besar sebelum ini, beregu negara turun dengan misi menutup cerita di Istora Senayan dengan noktah kemenangan.
Meskipun rekod pertemuan lebih memihak pasangan dari China itu, namun itu tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk Wei Chong-Kai Wun memecahkan badi kekalahan ke atas lawannya itu.
Perlawanan di set pertama bermula penuh sengit dan mendebarkan apabila serangan demi serangan diatur kedua-dua pasangan sebelum wakil negara mendahului 11-10 ketika interval.
Wei Keng-Wang Chang berusaha bangkit mengejar dan sempat mendahului seketika sebelum dipintas pasangan negara dan aksi di set pertama berakhir dengan keputusan tipis 21-19 memihak Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Bersambung di set kedua, persembahan konsisten terus ditampilkan oleh Wei Chong-Kai Wun untuk meninggalkan lawannya dari China itu ketika interval dengan perbezaan tiga mata.
Skrip sama seakan berulang ketika di set pertama apabila Wei Keng-Wang Chang berhasil menyamakan kedudukan dan memimpin permainan buat suatu ketika, namun segalanya tidak kena buat pasangan negara sekaligus mengheret aksi ke set penentuan.
Permulaan di set penentuan yang agak perlahan buat Wei Chong-Kai Wun setelah pasangan dari China itu terus menerus mengasak dengan variasi serangan yang mengelirukan untuk mendahului 11-5.
Beregu negara tampak mula kepenatan dan hilang fokus selepas itu sekaligus menyaksikan beberapa kesilapan dilakukan untuk Wei Keng-Wang Chang muncul pemenangdi set ketiga.
Aksi di gelanggang satu tamat, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tumpas dengan keputusan 21-19, 16-21, 11-21.
Ini merupakan gelaran juara ketiga buat gandingan Liang Wei Keng-Wang Chang bagi musim 2024 setelah kali terakhir bergelar juara di Badminton Asia Championship manakala ini merupakan pentas final pertama buat pasangan negara bagi kejohanan bertaraf 1000.