Skuad kebangsaan Indonesia kendalian Shin Tae-yong telah memecahkan rekod Asia Tenggara dengan menjadi pasukan terbaik di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia Zon Asia.
Indonesia mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan pasukan di ranking ke-59 dunia iaitu Arab Saudi dengan keputusan 2-0 di laman sendiri.
Dengan kemenangan itu, Indonesia kini mengumpul 6 mata selepas mengharungi 6 perlawanan setakat ini dan menjadi rekod terbaru bagi negara Asia Tenggara.
Sebagai info, rekod terbaik negara Asia Tenggara di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia sebelum ini dipegang oleh Vietnam yang mengumpul 4 mata pada 2022. Sebelum Vietnam, pada tahun 2018, Thailand hanya berjaya mengumpul dua mata.
Pada aksi bertemu Arab Saudi tempoh hari, Marselino Ferdinand menjadi wira Indonesia apabila meledak dua jaringan sekali gus memberikan kemenangan pertama buat Indonesia di pusingan ketiga.
Sebelum kemenangan berharga tersebut, Indonesia hanya mampu mencipta tiga keputusan seri dan dua perlawanan berakhir dengan kekalahan.
Dengan berbaki empat perlawanan, Indonesia perlu meraih mata maksimum untuk mencerahkan peluang mereka layak ke pusingan seterusnya.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan secara automatik layak ke Piala Dunia 2026 manakala pasukan yang menghuni tangga ketiga dan keempat akan mara ke pusingan keempat. Dua pasukan yang terbaik di pusingan keempat akan menyusul untuk mara ke Piala Dunia 2026.