Skuad kebangsaan Indonesia tidak sesuai untuk dilabel gagal selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024.
Perkara itu disuarakan jurulatihnya, Shin Tae-yong selepas menyaksikan Indonesia tewas 0-1 kepada Filipina di laman sendiri sekali gus tersingkir daripada kejohanan ini.
Bagi Tae-yong, adalah lebih baik jika perkataan kegagalan itu diubah kepada pengalaman buat pemain-pemain muda Indonesia.
“Boleh saja kalau nak kata kami gagal kerana tidak lolos ke separuh akhir. Tapi kita kena lihat ini bukan skuad senior. Kalau kita bawa skuad senior, saya pasti Indonesia akan jadi juara.
“Daripada mengatakan ianya gagal, lebih baik kita ubahkan menjadi pengalaman buat pemain-pemain muda,” jelas Tae-yong kepada CNN Indonesia.
Dalam pada itu, Tae-yong menenangkan penyokong Indonesia dan menasihatkan mereka supaya tidak khuatir kerana pemain-pemain muda ini berdepan dengan pasukan senior dari negara-negara lain.
“Kepada penyokong, tak perlu khuatir lebih-lebih lagi kita berdepan pasukan-pasukan senior dari berbagai negara,” ujarnya lagi.
Pada aksi bertemu Filipina, Indonesia terpaksa akur dengan jaringan tunggal penalti Filipina yang disempurnakan oleh Bjorn Martin Kristensen pada minit ke-63 sekali gus melayakkan Filipina ke separuh akhir mengiringi Vietnam yang menjadi juara kumpulan.