Tiga lagi tonggak warisan dipanggil menyertai skuad Indonesia untuk dua aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Zon Asia.
Tiga tonggak tersebut ialah Dean James, Joey Pelupessy dan Emil Audero. Ini selepas ketiga-tiga pemain itu mengangkat sumpah sebagai warga Indonesia di Kedutaan Indonesia di Rome, Itali.
Perkara ini turut disahkan Staf Khusus Menteri Bidang Hubungan Luar Negeri Kementerian Hukum dan HAM (Kemenkumham), Yadi Hendriana.
“Kementrian hukum telah menyelesaikan sumpah kewarganegaraan di Rome, Itali. Selamat Emil, Dean dan Joey, sudah rasmi menjadi WNI. Semoga bisa membawa Timnas Indonesia berjaya,” katanya di Instagram.
Selepas mereka sah bergelar warganegara Indonesia, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) akan menguruskan pertukaran persatuan membabitkan ketiga-tiga pemain ini dari Belanda dan Itali kepada Indonesia.
Yang pasti, nama Audero, James dan Pelupessy sudah dipanggil jurulatih Tim Garuda, Patrick Kluivert untuk aksi menentang Australia dan Bahrain.
Indonesia akan menentang The Socceroos pada 20 Mac. Ini disusuli aksi menentang Al-Ahmar pada 25 Mac.