Indonesia Terima Dua Pemain Warisan ‘Gred A’
MakanBola
Erick Thohir

Skuad kebangsaan Indonesia kendalian Shin Tae-yong dilaporkan bakal menerima dua lagi pemain warisan bertaraf ‘Gred A’ tidak lama lagi.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dalam satu hantaran di laman X.

Dua pemain yang dimaksudkan ialah Mees Hilgers dan Eliano Reijnders. Kedua-duanya adalah pemain yang beraksi di kasta tertinggi Liga Belanda iaitu Eridivise.

“Siang tadi, ramai wartawan bertanyakan kepada saya mengenai khabar Mees Hilgers dan Eliano Reijnders. Kini saya sudah makan malam bersama dan berjabat tangan,” umum Erick Thohir di laman X.

Mees Hilgers merupakan bekas pemain bawah 21 tahun Belanda dan kini beraksi untuk FC Twente sebagai pertahanan tengah. Baru berusia 23 tahun, kehadiran Hilgers ke timnas dijangka akan menambah pilihan buat Shin Tae-yong membariskan pertahanan yang lebih kebal selepas ini.

Manakala Eliano Reijnders merupakan pemain pertahanan kanan buat pasukan PEC Zwolle. Rijnders yang juga berusia 23 tahun adalah pemain utama buat kelab Belanda tersebut.

Ianya bukan satu tugas yang mudah buat Reijnders untuk merebut kesebelasan utama dalam skuad Indonesia yang kini sudah memiliki dua pemain di pertahanan kanan iaitu Sandy Walsh dan Asnawi Mangkualam.

Namun begitu, kehadiran dua pemain ini dijangka akan menambah kekuatan pasukan Indonesia yang baru sahaja mencipta kejutan dengan mengikat pasukan gergasi Asia, Arab Saudi dengan keputusan 1-1 tempoh hari.