Tiga negara Asia Tenggara, Indonesia, Thailand dan Malaysia melakukan usaha gigih untuk mengenal pasti pemain warisan di Eropah.
Usaha tiga negara ini seiring dengan prestasi dan pencapaian pasukan kebangsaan masing-masing terutamanya Indonesia yang menunjukkan kemajuan mendadak.
Sang Garuda kini diperkuatkan dengan kehadiran 11 pemain kacukan Eropah dalam skuad semasa bagi menghadapi tentangan Iraq dan Filipina bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad kendalian Shin Tae-yong juga baru sahaja menerima seorang lagi pemain iaitu Calvin Verdonk yang berkelana di Belanda.
Usaha ini giat dijalankan dengan Presiden PSSI, Erick Thohir dan juga Pengarah Teknikal PSSI, Indra Sjafri dilaporkan telah terbang ke Belanda untuk mengenal pasti kelompok pemain yang berpotensi mewakili Sang Garuda.
Indra Sjafri difahamkan telah berjaya menemui 5 orang pemain berbakat besar yang berpotensi menyarung jersi pasukan kebangsaan Indonesia.
Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Madame Pang pula telah terbang ke England untuk bertemu dengan pemain kacukan Thailand-England, Jude Soonsup-Bell.
Seandainya hasrat ini berjaya, Soonsup-Bell bakal menjadi pemain warisan terbaru mewakili Thailand. Antara pemain warisan yang mewakili Thailand ialah Elias Dolah, Tristan Do dan Nicholas Mickleson.
Filipina juga tidak kurang rancaknya untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan mereka.
Seramai 8 pemain kacukan baharu telah dipinang oleh The Azkals bagi menyalakan harapan untuk ke pusingan berikutnya.
Antara nama yang dipanggil kali ini ialah Raphael Obermair, Josep Beccay, Zico Bailey dan juga Dylan Demunyck.
Indonesia, Thailand dan Filipina akan berdepan lawan masing-masing pada 6 dan 11 Jun untuk menempah tiket ke pusingan berikutnya.