Advertisement
Indra Putra Sebut Dua Pertahanan Terbaik Malaysia Ketika Ini
Liga Super
MakanBola
PT Athletic FC

Lagenda bola sepak negara, Indra Putra Mahyuddin menyenaraikan dua tonggak pertahanan terbaik di Malaysia ketika ini.

Pemain berusia 43 tahun itu masih meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional bersama kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC.

Bekas tonggak TRW Kelantan itu sebelum ini pernah menyarankan agar tonggak berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi agar berkelana di luar negara.

“Kalau sayalah jadi Arif Aiman, saya akan pergi ke luar (negara). Sebab saya rasa bagi dia, liga kita ini terlalu mudah. Betul, terlalu mudah.

“Kalau dia nak tambah cabaran buat diri dia, dia kena pergi ke luar (negara). Daripada situ, dia akan belajar banyak lagi,” katanya pada sesi audio siar Bola Dulu Baru Kamu.

Beliau juga melihat terdapat beberapa pertahanan tempatah yang memiliki kualiti dan berkembang lebih baik pada masa hadapan.

“Saya nampak sekarang ini ialah Feroz (Baharudin). Feroz antara pemain yang dikatakan terbaiklah.

“Selain itu, pemain Terengganu, saya tak berapa ingat. Shahrul Nizam (Ros Hasni) dia antara yang terbaik,” tambahnya.

Feroz juga mendapat panggilan skuad Harimau Malaya bagi aksi menentang Laos dan India manakala Shahrul Nizam berada dalam senarai bersedia pasukan kebangsaan.

Ujian berikutnya buat Harimau Malaya adalah Piala ASEAN 2024 dan juga Kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun hadapan.