Dua bekas pemain kebangsaan sepakat memilih pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sebagai pemain terbaik negara ketika ini.
Perkara ini dinyatakan dua bekas pemenang ASEAN Championship 2010, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli bila ditanya ASEAN United FC tentang siapa pemain terbaik Malaysia.
Sejak membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya pada 23 Mei 2021, Arif sudah merekodkan 32 penampilan dan tujuh gol di peringkat antarabangsa.
Nama pemain sayap berusia 22 tahun itu turut menjadi sebutan di peringkat Asia. Arif kini berkongsi kedudukan kedua penjaring terbanyak Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan empat gol.
Beliau berkongsi kedudukan itu dengan Aleksandar Mitrovic, Soufiane Rahim, Salem Al-Dawsari, Anderson Lopes dan Taisei Miyashiro.
Sebelum ini, penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Indra Putra Mahayuddin turut melihat Arif sebagai pemain terbaik negara ketika ini.
“Ya, kita tahulah Arif Aiman antara pemain yang cukup lengkap saya rasa. Dia antara pemain yang bijak. Bijak mengawal bola, bijak mengimbangi suasana dalam perlawanan.
“Saya rasa dia antara pemain bertuah kerana digandingkan dengan pemain-pemain terbaik (sekeliling dia). Itu yang membuatkan dia jadi pemain yang matang dan menjadi pemain yang terbaik sekarang ini,” katanya.
Kelibat pemain sayap JDT itu dijangka ditagih Harimau Malaya terutama menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada tahun 2025.
Malaysia bakal mengharungi kempen ASEAN Championship 2024 yang membuka tirainya pada 8 Disember. Pasukan itu akan menentang Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan A.