Ramai peminat sukan Malaysia hampa apabila mendapat tahu Malaysia Airlines tidak menjalinkan kerjasama dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.
Sangkaan kerjasama dengan kelab EPL itu timbul apabila Malaysia Airlines mengumumkan kerjasama baru dengan sebuah pasukan sukan.
Ramai pengguna media sosial menyangka pasukan yang dinyatakan ialah Chelsea. Ini disebabkan kenyataan yang berbunyi, “Dua biru, satu pengumuman menarik.”
Pada akhirnya, ramai peminat terkejut biru yang dimaksudkan ialah pasukan kriket terkenal India, Mumbai Indians dan bukan The Blues.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia Airlines mengembangkan lagi jenama syarikat itu di Asia Selatan terutama India.
Sebaik perkara ini diketahui, ada yang merasa tertipu dengan pengumuman tersebut. Seorang pengguna X bernama Termizi Isa berkata, “Siapa yang kata Chelsea tadi?”
Sentimen sama turut dipersetujui seorang pengguna Instagram bernama Ahmed_art3101. “Kita semua ingat itu Chelsea,” ujarnya.
Untuk rekod, Malaysia Airlines pernah dikhabarkan bakal menjalin kerjasama dengan Chelsea beberapa tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, pada akhirnya, syarikat penerbangan utama negara itu memilih memeterai kerjasama dengan satu lagi kelab gergasi EPL, Manchester United.