Pengarah Teknikal Qatar FA, Tim Cahill menyifatkan bahawa pertemuan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama beberapa individu terkemuka dunia hanya permulaan kepada suatu perkara yang besar.
Arena bola sepak Asia Tenggara semakin rancak apabila berlakunya pertemuan antara baginda dengan Gianni Infantino, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 17 Disember 2024.
Infantino telah diberi taklimat mengenai projek skuad kebangsaan di Malaysia yang dimulakan oleh DYAM Tunku Ismail dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan.
Bukan itu sahaja, Baginda juga meneruskan langkah apabila mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Qatar Sport Investment dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi sambil memberi bayangan perkara besar sedang dirancang.
“Sesuatu yang besar akan berlaku tidak lama lagi. Sesuatu yang belum pernah kami lakukan sebelum ini,” ujar DYAM Tunku Ismail pada hantaran tersebut.
Tim Cahill yang juga Penasihat Khas kepada DYAM Pemangku Sultan Johor yakin bahawa semua usaha ini adalah satu permulaan sahaja.
“Ini baru permulaan,” ujarnya di laman Instagram sambil membayangkan suatu perkara menarik sedang menanti.
Baginda dijangka terbang ke England seperti laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk beberapa perkara mustahak melibatkan bola sepak.