Jumlah gaji bekas Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mencuri tumpuan peminat.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pengendali berusia 66 tahun itu merupakan salah seorang calon jurulatih Harimau Malaya.
“Park Hang-seo salah satu daripada calon jurulatih,” jelas Hamidin.
“Saya telah buat kerja saya dan mendapatkan pandangan daripada pakar daripada luar negara. Seperti yang saya maklumkan pada awalnya, kita kena ambil jurulatih tentang kualiti pemain yang kita ada.
Media Vietnam,Tuoi Trenews melaporkan bahawa gaji Hang-seo bersama pasukan Bintang Emas itu mencecah AS$50,000 (RM218,000) sebulan selepas cukai.
Jumlah tersebut juga merupakan bayaran tertinggi sepanjang masa untuk pengurus bola sepak di Vietnam. Bukan itu sahaja, gaji lumayan itu adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kontrak sebelumnya dengan VFF yang ditandatangani pada akhir 2017.
Vietnam juga memberi Park elaun lain termasuk kediaman, kereta persendirian dan tiket penerbangan antara Vietnam dan Korea Selatan serta meliputi cukai pendapatan peribadinya.
Beliau pernah membantu Vietnam untuk muncul naib juara Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Januari 2018 dan mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018.
Vietnam turut memenangi Piala AFF 2018 menewaskan Malaysia untuk meraih trofi pertama dalam kejohanan tersebut.
Park Hang-seo kini bergelar penasihat kelab Divisyen dua Vietnam, Bac Ninh dan masih mencari destinasi terakhirnya.