Ketua jurulatih perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen tidak mahu melepaskan peluang untuk membimbing para pemain negara.
Sabtu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu hantaran memaklumkan Jonassen sebagai ketua jurulatih baharu bagi mengemudi sektor perseorangan negara ketika ini.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan negara baharu,” umum badan induk itu.
Menurut Jonassen, setelah episod gemilang yang diraih oleh beliau di Eropah, kini perjalanan seterusnya membawanya ke benua Asia yang jelas terkenal dengan sukan Badminton.
“Boleh saya katakan sekiranya kamu berjaya di Eropah, maka jalan seterusnya akan tertumpu ke Asia di mana Badminton adalah sukan yang besar,” kata Jonassen ketika sesi sidang media.
Malah, Jonassen turut menganggap peluang melatih pemain di Malaysia sebagai suatu yang unik setelah kagum melihat bagaimana badminton begitu diminati oleh ramai peminat di sini.
”Saya sentiasa meminati badminton Malaysia dengan melihat bagaimana sukan ini diangkat di negara ini, jadi menurut saya untuk mendapat peluang (melatih di Malaysia) ini agak unik.”
Maka, dengan hanya panggilan oleh Rexy Mainaky sendiri, Jonassen lantas memikirkan peluang yang dilihat sebagai sekali seumur hidup untuk berada dan membimbing para pemain Malaysia.
”Hanya satu panggilan telefon daripada Rexy (Mainaky) yang membuatkan saya berfikir tentang kebarangkalian (datang ke Malaysia) ini,” cerita Jonassen kepada pihak media.
”Jadi saya percaya ini adalah peluang sekali seumur hidup (untuk melatih pasukan Malaysia) dan saya gembira berada di sini serta memulakan tugas,” ujar bekas jurulatih Denmark itu.
Tugas Jonassen pastinya membimbing pemain perseorangan negara yang terdiri daripada Leong Jun Hao (26 tahun), Ng Tze Yong (25 tahun), Justin Hoh (21 tahun) dan Eogene Ewe (20 tahun).
Sementara bagi perseorangan wanita pula terdiri daripada para pemain muda antaranya K. Letshanaa (22 tahun), Oo Shan Zi (18 tahun) dan Siti Zulaikha Azmi (19 tahun).