Ketua jurulatih Jepun, hajime Moriyasu yakin beliau individu yang harus dipersalahkan susulan penyingkiran Jepun daripada pentas Piala Asia AFC 2023.
Pengendali berusia 55 tahun itu gagal memastikan kemenangan memihak kepada pasukannya apabila tewas kepada Iran dengan keputusan 2-1.
Pasukan yang menghuni tangga ke-17 ranking FIFA itu mendahului hasil jaringan pemain tengah, Hidemasa Morita sebelum gol lewat permainan Iran menutup cerita mereka di Qatar.
“Pertama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain dan kakitangan Iran atas kemenangan itu,” Malangnya kami terpaksa meninggalkan kejohanan di peringkat suku akhir. Saya kasihan kepada penyokong kami dan semua orang yang terlibat dalam bola sepak Jepun.”
“Pemain dan staf melakukan persediaan dengan baik sejak dua hari lalu. Sebagai jurulatih, saya benar-benar kecewa kerana kami tidak dapat menterjemahkan usaha ini kepada hasil yang diinginkan,” ujarnya menurut laman AFC.
“Saya rasa bertanggungjawab ke atas keputusan itu kerana kakitangan dan pemain saya memberikan yang maksimum untuk perlawanan ini dan kejohanan ini.”
Beliau juga melihat masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukannya selepas bolos kesemua perlawanan yang diharungi dalam kejohanan kali ini.
Aksi separuh akhir akan menemuka dua wakil Kumpulan E, Korea Selatan dan Jordan sementara Qatar akan berdepan Iran dalam satu lagi aksi.