Insiden penyokong Persija Jakarta membakar suar mencemari aksi final RCTI Premium Sports antara kelab itu dengan Selangor FC.
Tindakan penyokong yang tidak bertanggungjawab ini berlaku pada minit ke-87 dengan perlawanan masih berbaki tiga minit.
Pada ketika itu, Merah Kuning mendahului tuan rumah menerusi jaringan pemain import Cape Verde, Alvin Fortes pada separuh masa pertama.
Tatkala Selangor sudah bersiap sedia meraikan kejayaan di bumi Indonesia, sebilangan penyokong Macan Kemayoran bertindak melepaskan suar dalam stadium.
Keadaan ini menyebabkan asap suar menyelubungi kawasan padang sekaligus menyukarkan pemain kedua-dua pasukan untuk meneruskan perlawanan.
Situasi ini menyebabkan perlawanan ditangguhkan dengan barisan pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang dan kembali ke bilik persalinan. Susulan itu, keputusan 1-0 dikira sebagai keputusan akhir perlawanan.
Ini membolehkan Selangor menggondol gelaran juara RCTI Premium Sports dengan Persija muncul naib juara. Ini trofi kedua Merah Kuning selepas menjuarai Selangor Asia Challenge (SAC) 2024.
Sebaik gambar Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) diselubungi asap suar dimuat naik ke media sosial, ia menjadi bualan hangat peminat bola sepak Indonesia.
Ini kerana ramai bimbang tindakan penyokong yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan Persija berdepan hukuman daripada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Selain itu, tindakan mereka dilihat memberi gambaran yang tidak baik kepada pasukan yang bertanding terutama dari Malaysia yang dianggap negara serumpun dengan Indonesia.