Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC mengesahkan trofi kedua musim ini apabila muncul juara RCTI Premium Sports di Indonesia dengan menundukkan Persija Jakarta.
Perlawanan yang berlangsung di Jakarta International Stadium (JIS) itu menyaksikan anak didik Nidzam Jamil turun dengan momentum terbaik.
Beberapa perubahan berlaku dalam kesebelasan utama dengan kemasukan pemain seperti Azim Al-Amin, Zikri Khalili dengan lilitan kapten digalas oleh Khuzaimi Piee.
The Red Giants berdepan lawan yang turut mengidamkan kemenangan di laman sendiri setelah menundukkan PSIS Semarang dengan keputusan 1-0.
Selangor melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan dengan anak didik Thomas Doll menurunkan hampir kesemua pemain muda.
Pemain sayap sensasi, Alvin Fortes tidak menunggu lama apabila meletakkan pasukan pelawat hasil tandukan cantik melepasi kawalan penjaga gol, Cahya Supriadi susulan hantaran lintang Zikri Khalili.
Pemain sayap lincah, Raihan Hannan melepaskan percubaan kencang namun berjaya ditempis Azim Al-Amin sebelum rembatan Resa Aditya juga berjaya dihalang olehnya.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, Persija Jakarta menggandakan usaha untuk mencari jaringan penyamaan.
Selangor bertindak lebih agresif untuk mematahkan jentera serangan lawan memasuki kawasan penalti pasukan.
Perlawanan dicemari aksi bakar suar oleh penonton tuan rumah ketika aksi memasuki minit ke-88.
Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Perlawanan tamat dengan kemenangan 1-0 memihak Selangor FC ke atas Persija Jakarta.
Selangor berjaya menjulang trofi kedua musim 2024/25 selepas muncul juara bagi Selangor Asia Challenge sebelum pembukaan musim.