Kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund memberi sokongan padu kepada tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim.
Pemain berusia 26 tahun itu ditimpa kecelakaan apabila diserang individu yang tidak dikenali dengan menggunakan asid pada 5 Mei yang lalu.
Beliau kini sudah pun menjalani pembedahan keempat di salah sebuah hospital di Selangor dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tonggak Selangor FC itu meraih perhatian seluruh dunia termasuklah beberapa individu dan kelab ternama dunia.
Terbaru, finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) iaitu Borussia Dortmund menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Faisal Halim.
“Faisal Halim adalah pemain sayap yang bermain untuk Selangor FC dan pasukan kebangsaan Malaysia. Beliau menjaringkan gol kejohanan dalam Piala Asia AFC baru-baru ini menentang Korea Selatan.
“13 gol dan 9 bantuan beliau dalam liga musim lalu melonjakkan Selangor FC ke tempat ke-2 dan tempat dalam pertandingan Asia 2024/25.
Susulan berita terkini, Faisal diserang dan ditempatkan dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dengan ini, kami ingin memberi penerangan tentang keganasan dalam bola sepak. Hentikan keganasan. Kami berdiri bersama Faisal Halim ,” ujar laman Facebook Die Borussen.
Akaun Facebook yang memiliki 15 Juta pengikut semasa itu menerima pujian rata-rata penyokong Malaysia atas inisiatif yang ditampilkan.
Menerusi stau kenyataan oleh Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Hazwan Khair berkenaan keadaan Faisal, beliau memaklumkan bahawa pemain itu menjalani proses pembedahan yang bermula seawal jam 9 pagi baru-baru ini.
“Faisal Halim hari ini sedang menjalani pembedahan keempat, dan menurut rancangan pakar bedah, hari ini merupakan proses split skin grafting.
“Faisal kini masih lagi dalam dewan pembedahan yang bermula seawal jam 9 pagi. Perkembangan lanjut kita perlu tunggu 48-72 jam nanti,” jelasnya ketika ditemui media hari ini.